Sinopsis All About Eve (siri TV)

Kehidupan Jin Sun-mi pada awalnya bahagia bersama ayahnya yang merupakan seorang duda. Namun segalanya berubah setelah ayahnya membuat keputusan untuk mengambil seorang gadis yang dijadikan sebagai anak angkat yang sebaya dengannya, Heo Young-mi. Young-mi berasal daripada keluarga yang miskin dan ayahnya seorang pemabuk itu selalu menderanya. Walaupun berasal daripada keluarga miskin, Young-mi suka berlagak dan merendahkan orang lain. Young-mi berniat untuk merampas semua kebahagiaan Sun-mi termasuklah menggoda teman lelaki Sun-mi, Woo-jin. Woo-jin akhirnya terjatuh dalam godaan Young-mi lalu terlanjur sehingga menyebabkan Young-mi hamil. Disebabkan ingin bertanggungjawab terhadap kandungan Young-mi itu, Woo-jin kemudian bertindak untuk memutuskan hubungannya dengan Sun-mi. Sun-mi yang berasa kecewa dengan keputusan Woo-jin itu kemudian dia membawa diri ke London.

Setibanya di London, Sun-mi bertemu dengan seorang lelaki kacak, iaitu Yoon Hyung-chul. Bermula sebagai kawan akhirnya mereka jatuh cinta. Namun sayangnya mereka harus terpisah disaat Sun-mi terpaksa kembali ke Korea. Young-mi kini telah mengalami keguguran dan dia telah memutuskan hubungannya dengan Woo-jin. Disebabkan itu, kehidupan Woo-jin mula menjadi tidak tentu arah setelah mengetahui Young-mi hanya menjadikan dirinya sebagai alat untuk mencapai cita-citanya untuk menjadi seorang penyampai berita di sebuah stesen TV dimana Woo-jin bertugas. Sun-mi juga kini berjaya menjadi salah seorang penyampai berita yang berjaya namun dia dikejutkan dengan kemunculan semula Hyung-chul yang kini menjadi CEO Executive dan telah mengambil alih syarikat stesen TV dimana dia dan Young-mi bekerja. Young-mi yang terpikat dengan teman lelaki baru Sun-mi itu, kemudian dia berusaha untuk menggoda Hyung-chul namun cinta Hyung-chul kepada Sun-mi sangat kuat berbanding dengan godaan Young-mi itu.

Bekas kekasih Young-mi kini kembali dan mengugut Young-mi bahawa rahsia kelamnya sebagai pelacur akan didedahkan sekiranya Young-mi enggan kembali kepadanya. Young-mi yang takut rahsianya didedahkan mencuba untuk melarikan diri dan setelah mengetahui bahwa Young-mi mencuba untuk melarikan diri daripadanya, bekas kekasih Young-mi itu lalu mengupah samseng untuk membunuh Young-mi namun gagal. Disebabkan itu, dia berusaha untuk membunuh Young-mi dengan tangannya sendiri. Woo-jin yang mengetahui nyawa Young-mi kini dalam bahaya, dia mencuba menyelamatkan Young-mi daripada dibunuh namun akhirnya Woo-jin terbunuh. Akhirnya kesemua kejahatan Young-mi terdedah. Young-mi yang kini tertekan dan sedih diatas kematian Woo-jin, mencuba untuk membunuh dirinya namun akhirnya dia dijumpai oleh sekumpulan rahib dalam keadaan amnesia yang menyebabkan dia kehilangan kesemua ingatan lalunya. Sun-mi bercadang untuk kembali ke London namun niatnya itu terhalang disebabkan Hyung-chul yang enggan melepaskannya pergi ke sana semula.